Wednesday, December 17, 2014

Normalisasi

Situasi jarang demam membuatkan sekali ianya berlaku, seluruh badan aku umpama lumpuh dan tidak bermaya.
Selalunya bila tekak rasa kering dan bila mahu telan air liur pun rasa perit, maknanya dalam antara 24jam hingga 48jam kemudian aku akan demam.
Itu petanda awal yang selalu aku dapat ramal tentang diri sendiri.
Selain buang air, isi air, dan isi perut, waktu demam aku akan habis di atas katil mengenang nasib.
Aku tak mampu untuk jadi produktif sewaktu demam melanda.

Cikgu sains aku dulu cerita,
demam adalah tanda kita manusia normal.
Pesta proses suap-balik negatif yang berlaku di seluruh badan untuk mengembalikan diri ke keadaan normal.
Badan panas, kepala pening, sendi lemah, semua itu hanyalah proses sementara semasa badan berusaha untuk kembali berfungi normal.
Sebab tu jangan merungut dengan demam.
Demam perlu untuk kembali normal.
Demam itu petanda kita manusia.

Namun,
demam juga satu cara untuk aku mengenali diri aku sendiri.
Seharian terlantar di atas katil dengan sensasi dan perasaan yang bercampur baur memberikan aku masa yang panjang untuk muhasabah diri.
Apa yang penting, apa yang tidak.
Apa paling nak dibuat, apa yang sekadar membuang masa.
Siapa dalam ingatan, siapa sekadar di pinggiran.
Demam membuatkan aku kembali pertimbangkan semula landasan kehidupan yang sedang dan bakal aku lalui.

Tapi bila badan terlalu lemah dan akal masih ligat,
separa sedar, aku seolah-olah berada dalam halusinasi sendiri.
Aku nampak sesuatu yang tidak ada.
Aku dengar sesuatu yang tidak wujud.
Malah, aku nampak diri aku sendiri sedang memandang aku.

Bagi setengah orang, itu pengalaman yang menakutkan.
Tapi bagi aku ianya hanya petanda aku normal.
Aku suka jadi normal.
Aku suka normal.
Normal itu hebat.

Bagi setengah orang, demam itu perkara remeh.
Makan ubat, berehat, kemudian sembuh.
Sedangkan banyak perkara yang boleh dipelajari dari demam.
Terutamanya tentang diri kita sendiri
dan itulah yang aku belajar dari demam aku.

Selalunya juga demam aku tak lama.
Selalunya 24jam terlantar, jam ke-25 aku sudah boleh buat flare (link) dan backflip.

Demam aku dua minggu lepas membuatkan aku tekad nak habiskan study cepat...
...dan aku sangat nak makan aiskrim.

No comments: