Saturday, August 10, 2013

derma darah

Setelah selesai prosedur wajib, aku menunggu di atas sebuah katil khas.
Kiri kanan aku diapit dua buah mesin yang pada aku, jika aku tiada asas dalam sains hayat,sudah tentu aku merasakan mesin itu pelik.

Datang seorang perempuan seragam putih bertag nama Salmah (bukan nama sebenar) menghampiri.

Dia mengambil buku kecil merah dari tangan aku.
Dibeleknya beberapa muka surat, lalu berkata,

"First time ye encik derma darah?"

Aku senyum tanpa kata.

"Boleh saya tanya kenapa derma darah?"

Aku mendiamkan diri seketika. Memikirkan jawapan.

"Dulu, ada seorang budak lelaki ni, dari kecil, dia bercita-cita nak jadi seorang doktor. Semuanya bermula apabila dia kesian melihat neneknya terbatuk-batuk di tangga rumah kampung mereka. Dari situ, budak itu membesar dengan niat mahu menolong manusia yang memerlukan bantuan dengan menjadi seorang doktor."

"Namun, nasib tak selalu menyebelahi kita. Budak tu gagal untuk lulus cemerlang dalam PMRnya. Walaupun bukan teruk, namun keputusannya tidak melayakkannya untuk masuk ke kelas budak pandai di sekolahnya bagi menyambung pelajaran dalam bidang impiannya. Maklumlah, takde rezeki, dimasukkan dalam kelas ekonomi asas dan perdagangan."

"Maka, sejak dari itu, budak itu berjanji, walau apa pun bidang yang diceburinya, dia akan sentiasa berusaha untuk membantu orang yang memerlukan."

"Pada dia, menderma darah adalah sekurang-kurangnya usaha yang dia mampu lakukan untuk memujuk hati yang kecewa tidak tercapai cita-cita."

Cik jururawat itu tergamam. Aku tahu, ayat aku terlalu buku.


Selepas selesai urusan derma darah, ketika aku sedang nak bangun dari katil, Cik Salmah jururawat tadi menegur,

"Budak yang encik ceritakan tadi, ialah encik ke?"

"Oh, bukan! Itu orang lain yang saya kenal.
jiran sebelah rumah yang saya kurang jelas namanya.
mungkin Sulaiman, ataupun Hamdan.
Tujuan saya derma darah sebab makanan yang disediakan selepas derma darah di sini sedap-sedap belaka"
Sambil aku tersenyum, aku beredar.





Dalam jalan keluar aku dari Pusat Darah Negara, aku terserempak dengan seorang doktor yang cun meletup habis. Tiba-tiba kepala rasa tekanan, macam nak tersembur darah dari hidung.
(Itu bukan sebab aku pervert, tapi sebab aku tak minum air milo yang disediakan. Serius! Bukan alasan. Tapi doktor tu memang cun.)


1 comment:

mujahidah maisarah said...

pernah sekali derma darah masa kat amf dulu.huu