Wednesday, July 31, 2013

Ramadhan dan aku: Penghujung Ramadhan



Kalian tahu apa yang paling mengujakan bila tiba hujung Ramadhan?
Pengumuman raya.

Bila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) duduk dekat kerusi dia dan mula beri salam,
aku rasa muka aku akan jadi begitu khusyuk menontonnya.
Bukan sebab aku nak tahu tarikh raya bila,
tapi sebab aku kagum dengan dia.

YA!
Kagum dengan PMBRR kita.
Ekspresi dia sangat sama, sangat cool.
Setiap perkataan dia adalah dengan nada yang sama,
tak ada langsung naik turun nada suara.

Entahlah..
Sepatutnya, bila hujung Ramadhan,
kita banyakkan amal.
Tapi, aku sendiri,
rasa biasa je..

Ramai berharap sempat sambut Ramadhan tahun depan.
Aku pula berharap,
dalam 11 bulan sebelum Ramadhan tahun depan
aku dapat berubah dan bersedia zahir dan batin
supaya dapat manipulasi khasiat Ramadhan seterusnya sebaiknya.
Sama ada sempat atau tidak,
bukan dalam kuasa aku.
Aku cuma harap aku dapat berubah bukan hanya kerana Ramadhan,
tapi kerana diri aku hendak berubah.

Sudah tentu berubah ke arah yang lebih baik.

Friday, July 26, 2013

Ramadhan dan aku: ibadah




Kalian tahu apa yang patut dikejar manusia di bulan Ramadhan?
Melakukan perkara yang baik..

kebelakangan ni kecoh dalam media sosial dan TV tentang seorang artis perempuan berkongsi gambar pergi terawih dengan tunang.
Juga ada beberapa artis lain yang share gambar berterawih dlm twitter.
Ada juga di kalangan kawan aku yang ditemplak kerana check-in foursquare di masjid-masjid,
seolah-olah mereka ini cuba mahu memberitahu seantero alam siber bahawa mereka pergi beribadah dan berterawih di masjid.



Aku bukanlah ustaz yang belajar ilmu agama tinggi-tinggi,
tapi izinkan aku beri sedikit sebanyak pandangan.

Siapa kita yang berhak mempertikaikan niat seseorang?
Selaku manusia, mana kita tahu apa niat si artis yang share gambar berterawih itu?
Kalau niat dia hanyalah mahu berkongsi perjalanan hidup dengan peminat,
kemudian peminat pergi hentam kata nak menunjuk yang diorang ni ke masjid berterawih,
bukankah sudah jatuh hukum fitnah?

Kalau niat si tukang share itu memang mahu menunjuk,
itu adalah urusan antara dia dan Tuhan.
Dosa pahala dia Tuhan yang Maha Mengetahui yang tentukan, kan?
Tugas kita yang termampu, hanyalah menasihati si pelaku agak tidak tergelincir dari landasan yang sepatutnya.
Bukannya pergi maki hamun caci cerca macam tiada maaf sudah untuk mereka.

Bab check-in dalam foursquare tu,
aku sendiri selalu buat.
Just put it like this...
Check-in ke dalam masjid, dengan check-in ke shopping mall,
agak-agak mana satu yang lagi baik dan bagus?

Tapi itu cuma pendapat peribadi aku yang cetek ilmu ni...
Aku sedang cuba belajar, jadi memang akan ada silap salah sana sini...

Tuesday, July 23, 2013

RAMADHAN DAN AKU: ZAKAT FITRAH



Kalian tahu apa pekerjaan aku semasa bulan puasa?
Penolong Amil Fitrah Pasaraya.

Aku tahu,

ramai yang terkejut,
tapi aku ni jahat sangat ke?
biarlah aku jadi soleh sebentar di bulan Ramadhan yang mulia ini
sekurang-kurangnya aku ada buat kerja yang baik
kannn??
pada yang tidak tahu,
amil ni merupakan orang yang ditugaskan
untuk mengutip atau memungut zakat
kategori aku,
amil fitrah,
kutip zakat untuk bulan puasa sahaja,
aku ditempatkan di pasaraya
Aeon sekitar Klang



aku nak kongsi soalan-soalan yang ditanya oleh pembayar,
pada aku
ianya agak aneh

Bang,
Saya ada bela kucing,
hari-hari saya bagi makan kucing saya,
ada 14 ekor semuanya,
saya nak kena bayar zakat jugak ke untuk kucing-kucing saya?

Dik,
akak nak tanya la,
akak baru je kasi kucing akak
ala yang mandulkan kucing tu,
anak-anak, kawan-kawan akak yang dtg rumah
semua suruh akak bayar zakat
untuk kucing akak tu
kalau tak berdosa sebab menganiaya dia
betul ke dik?

Bang,
saya ni pengkid
saya nak bayar zakat boleh kan?
lagi satu, saya kena salam abang ke takyah?
(dengan gaya ala-ala lelaki macho)

itulah antara soalan yang rare ditanya

aku terpinga-pinga, termangu-mangu

jawapan aku untuk soalan kedua-dua kucing tu
kucing tak perlu bayar zakat, 
yang perlu bayar zakat fitrah ni Orang Islam yang berkemampuan


yang pengkid tu

bayar je lah
tiada masalah pun
memang kena bayar
semua orang Islam wajib bayar zakat
bab salam tu takyah la
saya lelaki, akak ni perempuan berpakaian lelaki
dia dah malu sambil marah kot
hey, aku cakap benda betul


TUNAIKAN ZAKAT, IANYA SATU KEWAJIPAN

Monday, July 22, 2013

Ramadhan dan aku: Berbuka




Tahukah kalian apa yang ditunggu-tunggu ketika berpuasa?
BERBUKA PUASA.

Semasa sekolah rendah,
Ustaz aku dulu bersyarah,
katanya berbuka puasa ibarat hari raya kecil.
Ianya kemenangan kita menahan lapar dan dahaga serta perkara yang membatalkan puasa ketika siangnya.

Lalu aku pun menjawab,
"Jadi Ustaz, kita kenalah berbuka dengan meriah, sebab hari raya pun meriah."

Ustaz mengangkat kening, lalu senyum.

"Silap tu. Saya kata 'hari raya kecil'.
Maka, berbuka pun perlulah disambut dengan kecil-kecilan."

Cuba kita renung sejenak.
Dalam menu berbuka kita yang lepas,
berapa banyak sudah kita bazirkan?

Beli kuih 3 jenis, cuma makan satu.
Beli air bungkus besar, minum hanya segelas.
Lauk 3 jenis, 2 daripadanya tawar dan tidak dapat dimakan.
Membazir, bukan?

Yang memasak pula,
buat 2-3 lauk, tapi makan hanya dua orang.
Sudah tentu, berbuka perlu lebih,
kononnya nak tampung tenaga yang hilang siangnya.
Akibatnya,
rugi masa hanya untuk membenarkan perut lega.

Berapa banyak dari kita masih berbuka dengan kurma dan air,
kemudian tunaikan solat Maghrib, baru teruskan makan yang lain?

Aku? Tidak.

Saturday, July 20, 2013

Ramadhan dan aku: Sahur




Kalian tahu tak apa cabaran aku dalam bulan Ramadhan?
Salah satunya ialah SAHUR.

Aku tahu,
masalah orang lain tentang sahur awal pagi ialah nak bangun.
Tapi itu bukan masalah aku.
Aku tak pernah bermasalah dalam tidur.
Mungkin itu satu kelebihan, aku boleh bangun dan tidur bila-bila masa aku nak tanpa sebarang masalah.
Nak kejutkan aku pun bukan masalah.

Yang jadi masalah tentang sahur awal pagi untuk aku ialah SELERA.

Ya.
Apa erti bangun sahur awal pagi kalau tak makan, kan?
Itulah fungsi sahur,
takkan nak tenung dinding sampai habis waktu imsak, kan?

Selalu bangun sahur pukul 4.30 pagi,
aku akan tatap nasi tu lama.
Kalau nasi tu boleh bercakap,
aku sure dia akan rayu aku supaya makan dia.
Tak kira apa lauk yang dihidang,
lauk kegemaran, lauk mahal, lauk biasa,
tak ada satu pun yang mampu tarik selera aku.

Disebabkan itu,
aku makan sikit saja masa sahur.
Kesannya,
baru pukul 10 pagi aku dah mula lapar.
Masuk tengahari,
kepala rasa pening sebab tak cukup glukosa.
Petang tiba, badan lembik macam bengkang.
Hari jadi tak produktif.

Jadi,
nak tak nak aku akan sumbat juga mulut dengan makanan masa sahur.

Kepada yang lain,
sila jangan tinggal sahur kalau boleh.
Sahur amatlah penting.

Thursday, July 18, 2013

Ramadhan dan aku: Bazaar


Kalian tahu apa yang membuatkan aku kurang gemar ke bazar ramadhan?
Membazir.



Membazir ke bazar ada beberapa konteks.
Membazir apa?
MEMBAZIR PAHALA PUASA.

Pertama,
setiap kali nak ke bazar ramadhan petang-petang,
apa yang aku fikirkan adalah kena menempuh
banjiran manusia di sana.

Selalunya,
bila ke bazar, dan bila jumpa perangai seperti manusia yang menyakitkan hati, mulut aku tak terlepas dari mengucapkan sumpah seranah.
Maka, hilanglah pahala puasa aku.

Kedua,
disebabkan musuh kepada diri adalah nafsu sendiri,
dan aku kadang-kadang lemah dengan nafsu,
maka pergi ke bazar dengan menatap pilihan makanan yang banyak dan menyelerakan bakal menggugat iman dan membuatkan aku lupa dengan pegangan seperti 'berjimat-cermat' ataupun 'beli ala kadar'.

Natijah,
aku akan menghabiskan duit ringgit untuk makanan yang kadang-kadang pada waktu bukan bulan puasa, takkan aku sentuh langsung.
Lambakan makanan waktu berbuka yang banyak tidak menjamin keharmonian malam aku.

Maka,
berlakulah pembaziran di situ.
MEMBAZIR DUIT DAN MAKANAN.


Tapi aku tak menolak
bazar adalah lubuk rezeki pada sesetengah orang.
Peniaga terutamanya.
Dari segi itu, bazar memang bagus.

Tuesday, July 16, 2013

Ramadhan dan aku: Tarawih



Kalian tahu apa yang membuatkan aku tertekan semasa terawih?
Kanak-kanak buat bising.

Selain solat jumaat setiap minggu,
masjid juga jadi meriah di kala bulan Ramadhan.
Tambahan pula, ketika terawih.

Terawih? Tarawih? Tarawikh?
Mana-mana pun sama.

Surau rumah aku buat 20 rakaat solat sunat tarawih,
Yang bestnya, sampai ada yang tertidur tersengguk-sengguk.
Seronok pula aku melayan ragam orang-orang dalam surau.

Tapi yang tak boleh tahan
adalah semasa solat terawih sendiri.
Meriah dengan gelak-tawa budak-budak kecil.
Masa nak meng'amin'kan al-fatihah,
boleh runtuh siling surau ooo..
Masing-masing bersaing siapa yang lagi kuat.
Kuat dan panjang.

Yang aku nampak,
kebanyakkan mereka bukan nak solat sangat.
Datang sebab seronok dengan kawan-kawan ramai.
Yang tua-tua ni, nak larang tak boleh.
Maklumlah, budak-budak zaman sekarang.
Nak suruh datang surau pun susah.
Bila dah datang, buat bising pula.
Bila ditegur, bukan makan saman.
Semua besar kepala.

Zaman aku kecil dulu pun nakal juga.
Tapi, seingat aku,
aku masih lagi hormat orang lain solat.
Kalau nak main, keluar pergi belakang surau.
Belakang surau boleh skodeng awek.

Ok apa skodeng awek.
At least aku tak ganggu orang lain.
Kan? Kan? Kan??
Ke aku jahat?

Sunday, July 14, 2013

Ramadhan dan aku: Mercun



Kalian tahu apa yang aku rindu bila datang bulan Ramadhan?
Main mercun dengan kawan-kawan.

Aku bersyukur,
kerana zaman kanak-kanak aku ada termasuk dengan kenangan bermain mercun dengan kawan-kawan.
Kami sempat bermain mercun dengan seronoknya sebelum mercun diharamkan di negara kita.
Almaklumlah, bapak aku sangat tegas orangnya, jadi dia amat tak benarkan anaknya melakukan sesuatu yang diharamkan.

Bila dikenang balik,
antara kenangan mercun yang paling aku tak boleh lupa ialah tahi meletup.

Tahi kucing yang masih fresh dan basah di kawasan tanah lapang dan cucuk dengan beberapa batang mercun papan.
Dibakar serentak dan YEEEAAAAHHH!!
Berlarilah segenap manusia bertempiaran kerana tak mahu terkena percikan tahi yang berterbangan apabila mercun meletup.

Pernah kawan aku seorang ni terkena percikan tu.
Kena gelak sampai meleleh airmata dengan kami yang lain.
Hasilnya, dia merajuk seminggu.

Tapi,
zaman aku main mercun dulu tak ada pula dengar putus jari laa, mata buta laa, tanagn terbakar laa, macam zaman sekarang ni.

Yang aku nampak,
bebudak muda (juga tua) zaman sekarang kreatif tak bertempat.
Apa ke bangang letak belerang padat dalam batang paip besi?
Apa ke bangang balik mercun dalam bekas simpanan mercun lain?
APa ke bangang bakar mercun, lepas tu tak lempar sampai meletup kat tangan sendiri?

Rindu main mercun.

Thursday, July 11, 2013

Ramadhan dan aku: Salam Ramadhan



Alhamdulillah.
Kita bertemu kembali dengan bulan Ramadhan.

Bila masuk awal Ramadhan,
banyak dari kita yang akan tanam niat nak beramal banyak.

Aku pun tak terkecuali.
Dan, hampir setiap tahun, aku akan buat perkara yang sama.

Iaitu BERAZAM.

Awal Ramadhan setiap tahun aku akan berazam nak jadi manusia yang lebih baik.
Seperti manusia tipikal yang lain, nak jadi baik hanya bila datangnya Ramadhan.
Sebenarnya, nak jadi baik, bila-bila masa pun boleh dilaksanakan.

Setiap tahun,
pada awal Ramadhan aku akan beritahu diri sendiri.

"Ramadhan kali ni, aku nak ubah diri.
Nak buang semua perangai buruk.
Nak banyakkan perangai baik."

Tapi hakikatnya,
aku sendiri tak tahu adakah aku berubah.

Secara jujur,
aku tak pernah rasa diri aku lebih baik selepas Ramadhan.
Aku rasa sama.
Aku rasa tak berubah.

Tapi bila aku tanya orang lain,
mereka berkata
'Baik buruk seseorang bukan diri sendiri yang menilai.
Kita tak layak menilai diri, sebab baik dan buruk adalah relatif,
jadi kena biarkan pihak lain, bukan diri sendiri,
yang menilai.'

Kata itu ada betulnya,
tapi aku tak pernah rasa nak minta orang lain menilai.
Tak rasa ke permintaan seperti
'Hai, awak rasa saya makin baik ke tak lepas Ramadhan ni?'
kedengaran agak tidak rasional.

Tapi hakikatnya,
aku sangat mahu menjadi baik.
At least, baik dengan diri sendiri dan orang terdekat.
Dah penat dah jadi beban orang lain,
biar orang lain pula bergantung pada aku.

Jadi,
sementara Ramadhan yang mulia ini,
apa kata kita sama-sama berubah.

Jadikan Ramadhan sebagai titik perubahan, bukan titik persinggahan.

Selamat Menyambut Ramadhan.

Saturday, July 6, 2013

Mangsa Kapal Karam yang Terselamat

aku terbaca artikel ni dekat Tumblr IslamicThinking
so, ini adalah terjemahan aku




Satu-satunya mangsa yang terselamat dari satu tragedi kapal karam dihanyutkan arus ke sebuah pulau yang kecil dan tidak berpenghuni.
Setelah sedar, dia tekun berdoa kepada Yang Maha Esa supaya dia diselamatkan.


Setiap hari dia tinjau ufuk laut untuk meminta tolong,
mana tahu ada kapal yang lalu,
namun ianya tetap sunyi dari sebarang tanda kapal lalu.
Walaupun kepenatan,
namun dia berjaya membina satu pondok berteduh kecil dari serpihan kayu kapal yang hanyut bersamanya.


Satu hari,
selepas selesai mencari sumber makanan di hutan,
ketika perjalanan balik ke pondok,
dia nampak pondoknya sedang marak dimakan api,
dengan asap yang berkepul menjulang ke langit.


Merasakan dirinya kehilangan segalanya,
dia menjerit meronta marahkan nasib malang yang bertalu-talu menimpanya.


Jeritnya,
"Ya Tuhan Yang Maha Esa! Kenapa nasibku seburuk ini?"


Pagi keesokan hari,
dia terjaga dek terdengar deruan dari kapal yang menghampiri pantai.
Kapal itu adalah milik pasukan penyelamat yang datang khusus untuk dia.


Dia bertanya kepada pasukan itu,
"Bagaimana kalian tahu saya di sini?"


"Kami nampak isyarat asap yang diberikan kamu itu."
Balas mereka.



Moral cerita:
Memang mudah hilang pedoman bila ditimpa kesusahan,
tapi kita tak patut hilang pertimbangan,
kerana Tuhan Yang Maha Besar sentiasa bersama kita
tak kira senang, susah, sakit mahupun derita.

Ingatlah, di saat ketika 'pondok kita terbakar dimamah api'
Akan ada 'isyarat asap' yang membawa hikmah ke bumi.



postquam-scriptum:
Sebanyak mana aku nak berkongsi cerita ini
ianya lebih berfungsi sebagai pengingat diri sendiri.
Kita selalu ungkap 'Ada hikmah di sebalik semua perkara yang berlaku'
Tapi berapa ramai dari kita yang betul-betul memahaminya?

Baca artikel sebenar Islamic Thinking di sini
Follow twitter mereka di @IslamicThinking 

Thursday, July 4, 2013

Mimpi




aku tengok semula cerita Inception (2010).
ye, aku tau cerita ni dah lama.
tapi sebab dia ada sesuatu yang aneh
dalam jalan cerita, cinematography dia, muzik latar,
watak, perkembangan watak.
Cerita ni lakonan Leonardo DiCaprio, memang mantap..
Sebab  DiCaprio ni banyak berlakon cerita yang berat,
macam Shutter Island dan ntah ape ntah tajuk cite yang curi berlian tu


Bercerita tentang mimpi,
sebelum ni, aku hanya anggap mimpi sebagai mainan tidur..
Aku pernah baca (ntah kat mana),
semasa kita tidur, otak kita menyusun data dalam bentuk memori.
Macam komputer buat defragmentation..
So, mimpi hanyalah serpihan memori yang sedang disusun.
Sebab tu kebanyakan mimpi selalu tak logik..




Itu apa yang aku pernah percaya..
Segalanya berubah selepas aku alami satu mimpi pelik..
Ini mimpinya......

Aku dan dua orang lain sedang berbual-bual.
Duduk di sebuah meja bulat,
berbual kosong tentang kehidupan..
Sedang tiba-tiba,
seorang dari kami keluarkan pistol dari jaket
dan tembak kawan aku seorang lagi..
Dan kemudian,
aku dan si penembak tu entah macamana berada di dalam lif,
sedang bertumbuk.
Akhirnya, si penembak tu jatuh ke tanah dan pecahkan satu pasu..

Mimpi habis..
Aku terjaga..

Hm, mesti ramai fikir
apa yang pelik???
Biasa laa mimpi selalunya tak logik,
sekejap kat sini, sekejap kat tempat lain...
Tapi,
biar aku keluarkan 3 perkara pelik dalam mimpi tu:


  1. Diri aku bukan yang melihat, tetapi aku adalah si penembak.
    Maknanya, aku melihat aku dalam mimpi sendiri,
    seolah-olah aku berada dalam badan orang lain.
    Kalau mimpi adalah serpihan memori,
    aku takkan dapat melihat diri sendiri bergerak sana-sini, kan???

  2. Sepanjang mimpi yang pendek tu,
    kami bertiga bertutur dalam English..
    Aku mengaku, English aku tak hebat mana sampai ke tahap nak speaking in real life.
    Tapi, mimpi bercakap English penuh memang pelik.
    Malah, selepas aku bangun dari tidur, aku terus grab kamus
    dan cari maksud perkataan yang aku tuturkan.
    Aku ingat lagi, perkataannya 
    'conflagration'.
    How in this world aku boleh mimpikan perkataan English yang aku sendiri tak faham maksudnya??

  3. Kebanyakan mimpi aku sebelum ni, aku tak mampu nak ingat secara menyeluruh.
    Tapi mimpi kali ni amat jelas, sampai aku boleh recall apa topik perbualan kami dan bentuk rupa pistol yang diacukan.


Demmit..
Sejak dari mimpi tu,
aku percaya mimpi bukan sekadar mainan tidur.
Ianya kadang-kadang lebih dari itu
dan mungkin akal manusia takkan mampu menyingkap misterinya..

Dan sejak mimpi tu,
aku tak lagi ingat aku mimpi..
Kadang-kadang bila aku bangun tidur,
aku tahu tadi aku bermimpikan sesuatu,
tapi tak ada satu perkara pun tentang mimpi tu aku mampu imbas kembali..




postquam-scriptum: aku tengah gila dengar Jamaica Cafe, so aku nak kongsi dengan korang. lagu yang korang tgh dengar ni nama dia ENAM. so, check 'em out!

postquam-postquam-scriptum: kalau tak suka boleh tekan pause button kat atas :)

Monday, July 1, 2013

Gagal



Sedang tengah makan di sebuah restoran di tepi pantai,
di Terengganu,
oleh sebab tak lalu makan akibat banyak masalah nak fikir,
kawan-kawan aku yang lain berborak, membincangkan sesuatu,
aku tak fokus,
aku tengok keliling..

Nampak ada budak kecil baru pandai berjalan.
Ibubapanya hanya tengok dari jauh.
Jalan dua-tiga tapak, jatuh ke lantai.
Bangun semula.
Jalan dua-tiga tapak lagi, jatuh ke lantai.
Bangun semula.

Situasi itu berlanjutan beberapa kali.
Dan sangat membanggakan, budak itu tidak menangis.
Malah, setiap kali jatuh, wajahnya nampak lebih ceria.

Melihat situasi begitu,
aku tersentuh.
Adakah aku begitu masa kecil dahulu?
Kenapa aku tidak begitu sekarang?


postquam-scriptum:
Hidup banyak dugaan.
Tapi, tanpa dugaan, hidup kosong.
Aku patut bersyukur.