Wednesday, March 20, 2013

Takut ke?


Tahu tak apa yang menakutkan?
KETAKUTAN itu sendiri.



Seorang ahli psikologi bernama John Watson (wiki) telah menjalankan satu eksperimen pada 1920 mengenai ketakutan.

Pada awal eksperimen, dia bersama pembantunya, Rosalie Rayner telah meletakkan seorang bayi yang dipanggil Albert, berusia 11 bulan, di dalam sebuah bilik di dalam hospital dan didedahkan buat kali pertama dengan barang-barang seperti arnab putih, tikus makmal putih, monyet, anjing, topeng putih yang berbulu dan yang tidak berbulu, gumpalan kapas putih, surat khabar yang sudah terbakar dan macam-macam lagi. Albert dilihat tidak takut dengan mana-mana barang di situ.

Kemudian, Albert diletakkan di tengah bilik dan berhampiran, diletakkan seekor tikus putih makmal. Albert dibenarkan untuk menyentuh dan bermain dengan tikus itu. Tiada tanda takut dikesan.

Dalam sesi seterusnya, apabila Albert dilihat menyentuh tikus putih itu, Watson dan Rayner melagakan rod-rod besi dan menghasilkan bunyi yang kuat. Bunyi kuat itu mengejutkan Albert. Dia takut dan menangis. Eksperimen diulang dengan setiap kali Albert menyentuh tikus itu, rod besi dilagakan.

Apabila setiap kali Albert diletakkan berdekatan dengan tikus putih, dia akan menangis ketakutan dan bergerak menjauhi tikus. Kemudian, Albert juga didedahkan dengan benda putih dan berbulu yang lain seperti arnab putih, topeng berbulu, juga topeng santa Claus dengan janggut putih yang dperbuat dari kapas. Albert dilihat akan menjadi takut apabila melihat benda putih dan berbulu. Dia mengaitkan benda putih dan berbulu (seperti tikus makmal) adalah menakutkan.

Eksperimen menunjukkan ketakutan adalah dicetus, bukannya semulajadi.

Malangnya, Albert dikeluarkan dari hospital tempat eksperimen dijalankan sebelum sempat dipulihkan sepenuhnya. Dia dan keluarganya kemudian hilang tak dapat dikesan.



Pada pendapat aku, ketakutan adalah dari pengalaman, bukannya semulajadi.
Pengalaman sama ada sendiri, atau suapan visual atau auditori dari sumber lain.

Kita dari kecil didedahkan dengan perkara yang perlu kita takut.
Kita takutkan rotan kerana sakit.
Setiap kali ustaz tempat mengaji mengangkat rotan, kita diajar supaya patuh.
Kita takut dengan guru besar yang garang dan bermisai lebat.
Sehingga kini, jika kita lihat bakal bapa mertua dengan misai lebat, ataupun polis trafik dengan misai melenting, kita jadi waspada, takut dan berhati-hati dari membuat kesilapan.

Pada dasarnya, kita tak takut dengan perkara yang kita kata kita takut.
Kita takutkan perkara yang terjadi/ produk kepada perkara yang kita kata kita takut.

Albert tak takutkan tikus putih dan barangan putih berbulu,
dia takutkan bunyi bising yang mungkin berlaku selepas dia sentuh barangan tersebut.

Kita juga sama.
Kita kata kita takut gelap.
Sebenarnya, kita takut perkara yang boleh berlaku dalam gelap.
Kita disuap dengan cerita hantu (yang gelap), dan kes culik rogol (di kawasan gelap), serta kejadian samun bunuh (di lorong gelap).
Kita sudah kaitkan kegelapan dengan perkara buruk.

Kita kata kita takut jarum suntikan.
Sebenarnya, kita bukan takut jarum suntikan.
Kita takut, apabila disuntik, kita rasa sakit yang teramat sangat.
Kita disuap dengan paparan cerita dan drama di mana apabila ditikam bertalu-talu, darah termercik dan mangsa menjerit kesakitan sebelum mati.
Kita sudah kaitkan jarum suntikan dengan kesakitan melampau.




Nasihat aku,
jika korang takutkan sesuatu, sila ambil masa sejenak.
Fikirkan apa yang korang takut.
Tackle punca sebenar ketakutan korang.

Korang takut nak luahkan perasaan cinta kepada seseorang?
Sebenarnya, korang takut ditolak.
Cuba ambil perasaan ditolak itu sebagai satu pengalaman yang mungkin takkan pernah korang rasa.
Dengan itu, kalian masih ada keyakinan untuk berdepan.
Sebab kalau luahan perasaan itu diterima, korang bertuah.
Kalau luahan perasaan itu ditolak, korang masih positif.

Jangan takut. Lawan ketakutan.
Sebab ketakutan hanyalah satu rangsangan luaran yang masuk ke dalam fikiran.

Kerana takut yang sebenar adalah takut dengan kemurkaan Allah SWT.




postquam-scriptum:
Satu usaha mengesan bayi Albert yang hilang itu dijalankan pada tahun 2009, mendapati bahawa Albert mati pada usia 6 tahun akibat dari penyakit Hydrocephalus (kepala membesar dipenuhi air).
Ya, penyakit itu tiada kaitan dengan kegagalan memulihkan Albert kepada asal, tapi eksperimen (Little Albert) ini menjadi kontroversi dan dikatakan antara eksperimen psikologi manusia paling tak beretika dalam sejarah.

No comments: