Saturday, October 27, 2012

Keputusan ditangan kita




Dari mana mula, aku tak tahu.
Tapi sedar-sedar je, kepala aku sedang berada dalam air.
Buih udara keluar dari mulut.
Air masuk mengisi ruang kosong dalam dada.
Aku hampir lemas.

Tiba-tiba,
terasa ada tangan pegang belakang kepala aku dan angkat aku ke atas.
Aku kembali keluar dari air, dan dapat merasa udara.

"Sejak bila kau jadi lemah??" satu suara dari belakang.
Empunya tangan yang memegang kepala aku.

Sekali lagi tangan itu merejam.
Kepala aku dimasukkan kembali ke dalam air dengan keras.
Aku tak sempat menarik masuk udara bekalan.
Aku hampir lemas.

Diangkat kembali kepala aku.
Aku terbatuk-batuk!

"Kau kata kau ada dua pilihan.
Dan tak kira mana kau pilih,
pilihan itu tetap akan melukakan.
Apa itu semua?? Sejak bila kau jadi begini??"

Aku cuba mahu menoleh ke belakang, namun pegangan kepala aku terlalu kuat.

"Kau yang aku kenal,
jika diberi dua pilihan,
dan kedua-duanya tak bagus untuk kau,
kau akan buat pilihan ketiga!
Kau putuskannya sendiri.
Itu KAU yang aku kenal."





"Uhhhhh..."
Aku tarik nafas panjang.
Aku tersentak tegak dari baring.
Aku kini di atas katil.
Aku mimpi.

Penat.
Badan basah dengan peluh.
Aku mengucap banyak kali.
Jam di dinding berdetik mengukir 6.30 am..
Aku terasa takut.


***************


Ustaz aku pernah berceramah panjang masa sekolah dulu.
Kata dia, mimpi baik tak apa di kongsi.
Mimpi buruk tak elok dicerita.

Tapi hakikatnya,
aku sedang menceritakan perihal mimpi direjam lemas.
Apa yang sedang aku lakukan???



Dari buku tafsir mimpi yang pernah aku baca,
air bermaksud kehidupan.
Jika kita mimpikan sesuatu yang berkaitan air yang banyak seperti kolam, sungai, tasik, laut..
bermaksud ianya ada kaitan dengan kehidupan.

Lemas dalam air pula dikatakan 'ditindas' dalam kehidupan.
Ada sesuatu akan berlaku di luar kawalan.
Jika kita diselamatkan dari lemas,
bermakna kita akan bangkit selepas lumpuh dengan dugaan kehidupan.

Tapi itu semua hasil kajian manusia sekular.
Tiada hukum dari segi agama yang membenarkannya.
Maka, aku abaikan segala maksudnya.

Hakikatnya,
sebab aku berkongsi mimpi ini dengan kalian,
kerana mimpi aku di atas memberi aku satu sinar baru.
Ada suara memberitahu aku sesuatu yang tak pernah aku fikirkan.

'PUTUSKAN DENGAN SENDIRI'

Segala ujian dalam hidup disertakan dengan pilihan.
Kita yang memilih, berdasarkan akal dan kebijaksanaan.

Aku memandang mimpi di atas sebagai satu nasihat dari Dia.
Yang Maha Bijaksana dalam Menyampaikan Sesuatu.
Kerana hari sebelumnya, aku 'down' dek kerana dugaan dunia yang menimpa-nimpa.
Dan kerana nasihat itu, aku kembali melihat dugaan itu dari perspektif berbeza.

Aku perlu bangkit!
Aku perlu berjuang!
Bukankah nama aku bermaksud
'menanam sifat keberanianku yang terpuji'??


postquam-scriptum:
Isi entri agak berat. Maaf. Tiada cara lebih mudah untuk aku sampai selain dari ini.
Tapi segalanya dapat dirumuskan kepada satu ayat.
We are the masters of our own destiny.

No comments: