Saturday, October 27, 2012

Keputusan ditangan kita




Dari mana mula, aku tak tahu.
Tapi sedar-sedar je, kepala aku sedang berada dalam air.
Buih udara keluar dari mulut.
Air masuk mengisi ruang kosong dalam dada.
Aku hampir lemas.

Tiba-tiba,
terasa ada tangan pegang belakang kepala aku dan angkat aku ke atas.
Aku kembali keluar dari air, dan dapat merasa udara.

"Sejak bila kau jadi lemah??" satu suara dari belakang.
Empunya tangan yang memegang kepala aku.

Sekali lagi tangan itu merejam.
Kepala aku dimasukkan kembali ke dalam air dengan keras.
Aku tak sempat menarik masuk udara bekalan.
Aku hampir lemas.

Diangkat kembali kepala aku.
Aku terbatuk-batuk!

"Kau kata kau ada dua pilihan.
Dan tak kira mana kau pilih,
pilihan itu tetap akan melukakan.
Apa itu semua?? Sejak bila kau jadi begini??"

Aku cuba mahu menoleh ke belakang, namun pegangan kepala aku terlalu kuat.

"Kau yang aku kenal,
jika diberi dua pilihan,
dan kedua-duanya tak bagus untuk kau,
kau akan buat pilihan ketiga!
Kau putuskannya sendiri.
Itu KAU yang aku kenal."





"Uhhhhh..."
Aku tarik nafas panjang.
Aku tersentak tegak dari baring.
Aku kini di atas katil.
Aku mimpi.

Penat.
Badan basah dengan peluh.
Aku mengucap banyak kali.
Jam di dinding berdetik mengukir 6.30 am..
Aku terasa takut.


***************


Ustaz aku pernah berceramah panjang masa sekolah dulu.
Kata dia, mimpi baik tak apa di kongsi.
Mimpi buruk tak elok dicerita.

Tapi hakikatnya,
aku sedang menceritakan perihal mimpi direjam lemas.
Apa yang sedang aku lakukan???



Dari buku tafsir mimpi yang pernah aku baca,
air bermaksud kehidupan.
Jika kita mimpikan sesuatu yang berkaitan air yang banyak seperti kolam, sungai, tasik, laut..
bermaksud ianya ada kaitan dengan kehidupan.

Lemas dalam air pula dikatakan 'ditindas' dalam kehidupan.
Ada sesuatu akan berlaku di luar kawalan.
Jika kita diselamatkan dari lemas,
bermakna kita akan bangkit selepas lumpuh dengan dugaan kehidupan.

Tapi itu semua hasil kajian manusia sekular.
Tiada hukum dari segi agama yang membenarkannya.
Maka, aku abaikan segala maksudnya.

Hakikatnya,
sebab aku berkongsi mimpi ini dengan kalian,
kerana mimpi aku di atas memberi aku satu sinar baru.
Ada suara memberitahu aku sesuatu yang tak pernah aku fikirkan.

'PUTUSKAN DENGAN SENDIRI'

Segala ujian dalam hidup disertakan dengan pilihan.
Kita yang memilih, berdasarkan akal dan kebijaksanaan.

Aku memandang mimpi di atas sebagai satu nasihat dari Dia.
Yang Maha Bijaksana dalam Menyampaikan Sesuatu.
Kerana hari sebelumnya, aku 'down' dek kerana dugaan dunia yang menimpa-nimpa.
Dan kerana nasihat itu, aku kembali melihat dugaan itu dari perspektif berbeza.

Aku perlu bangkit!
Aku perlu berjuang!
Bukankah nama aku bermaksud
'menanam sifat keberanianku yang terpuji'??


postquam-scriptum:
Isi entri agak berat. Maaf. Tiada cara lebih mudah untuk aku sampai selain dari ini.
Tapi segalanya dapat dirumuskan kepada satu ayat.
We are the masters of our own destiny.

Tuesday, October 23, 2012

ada DSLR? anda seorang "JURUGAMBAR" !!




Satu hari masa aku pergi kenduri kahwin kawan aku,
aku ada terperasan satu perempuan ni dengan berDSLR tergantung di leher sibuk tangkap gambar pengantin situ sini..

Setelah selidik kaji jaga tepi kain orang sikit
aku dapati perempuan tu BUKAN fotografer rasmi bagi majlis tu.
Kawan aku dah tempah baik punya satu fotografer berpengalaman untuk majlis dia tu, jadi aku assume, perempuan tu adalah seorang fotografer amatur yang (mungkin) nak tangkap gambar majlis perkahwinan sebagai satu wadah mengisi pengalaman diri.

Ya, bagus! Passion itu penting!

Tapi, satu perangai dia yang kurang aku senang walaupun muka dia comel adalah perangai dia yang sibuk mengalahkan fotografer rasmi.

Hampir setiap waktu, dari sesi pengantin datang dengan kompang, ke sesi menyusun barang hantaran di ruang tamu rumah pengantin, hingga ke sesi terjah bilik pengantin, perempuan tu mesti akan berada di hadapan seterusnya menghalang fotografer lain dari bergambar, dengan harapan dia mahukan gambar yang terbaik. Lebih mengecewakan, dengan fotografer rasmi sekali jadi mangsanya.

Beberapa kali aku nampak adegan si fotografer rasmi mencuit bahu perempuan itu kerana dia menghalang skop gambarnya, tapi setiap kali itulah si perempuan tu akan buat muka 'aphal-ko-cuit-cuit-orang-ni-aku-tengah-sibuk-arr' dengan jelingan super-sengal.

Maka, aku dan kawan aku berkeputusan mahu mengajar dia satu pengalaman yang hebat.

Kami berdua (aku dan seorang lagi kawan) masing-masing meminjam kamera digital biasa milik kawan yang lain, dan seperti apa yang dia buat, kami halang setiap lensa kamera dia dengan alasan kami juga mahu mengambil gambar.

Dia panas dan tegur,
"Brader, tengok laa orang belakang sama. Saya pun nak amik gambar. Tak perlu laa sampai nak halang-halang orang."

Belum sempat aku nak bantai balik, si fotografer rasmi majlis yang kebetulan berada di belakang perempuan tu balas balik,
"Cik adik pun buat perkara yang sama, halang saya nak buat tanggungjawab saya."

Selepas itu, si perempuan tu pun kelihatan sentiasa mengutamakan fotografer rasmi sebelum dirinya. Mungkin malu kena tegur agaknya, walaupun kelihatan passionnya terhadap fotografi masih tak luntur.

Yes, passion is important, but respect is the most important aspect in photography.

Aku tak layak nak cakap banyak tentang fotografi sebab ilmu yang sangat cetek, tapi momen yang nak dicapture oleh fotografer adalah sangat kritikal, dengan kata lain, jika satu momen itu dirosakkan dengan bayangan fotografer lain, momen tersebut tidak akan kembali berulang. Semua fotografer mahukan shot yang terbaik, tapi hormatilah siapa yang diberi keutamaan.

Lagipun, dengan hanya berbeg kotak disandang sebelah kiri, dan berDSLR terlilit di leher, tak bererti orang itu sudah layak digelak fotografer.

Pemikiran bahawa dengan memilik DSLR sudah melayakkan kita digelak fotografer ialah, dalam kata aku sendiri,
  'TOTAL SS!'

postquam-scriptum:
Di akhir majlis aku nampak si perempuan tu sedang meneguk air sirap baki majlis, mungkin penat 'bekerja'. Memandangkan aku tak makan telur, aku hampiri dia dan hadiahkan bunga telur dan berkata 'Nice job' dengan harapan kami boleh berbual-bual dan bertukar nombor telefon sebab fakta bahawa dia seorang gadis yang comel tak pernah berubah. Namun, mungkin dah terbina kebencian dari awal pertemuan kami tadi, dia hanya ambil bunga telur itu dan berlalu tanpa sepatah kata. Kesian aku.

Sunday, October 21, 2012

.Penghargaan.


Sebelum apa-apa, biar aku jelaskan dulu yang entri ini hanya berdasarkan pemerhatian dan pemahaman aku sebagai lelaki, tidak ada niat mahu melabel sesiapa..
Seandainya anda terasa, itu hanya kebetulan sahaja..
Kalau marah dan nak lepaskan, silakan beri komen 'membina' anda..






'INGIN DIHARGAI? BELAJAR MENGHARGAI DULU...'

Dari ayat tersebut,
seolah-olah ditujukan buat si perempuan..
Namun hakikatnya, penyataan di atas adalah universal..
Lelaki dan perempuan...

Pengalaman aku,
bila kita bersama seseorang,
bagi pihak lelaki, sekurang-kurangnya perlu ada rasa hormat pasangan terhadap kita...
Mungkin dari inilah perempuan banyak kata lelaki 'EGOIS'
adakah salah kenyataan tersebut?

Lelaki (bakal) ketua keluarga,
maka seharusnya lelaki dihormati..
keputusannya didengar, kalau tak kurang setuju, berbincang...
Bukan bererti perempuan sentiasa kena kongkong,
tapi keharmonian perempuan dijaga apabila dilindungi lelaki,
disayangi lelaki,
dibelai lelaki,
dimanja lelaki...

Ok,
aku tidak mahu memasukkan hal lelaki yang jadikan perempuan tempat lepas amarah..
dilempang, dipukul, disepak, diterajang..
aku sendiri sebagai seorang lelaki menolak seratus peratus perlakuan durjana tersebut,

Namun,
adakah ini bermaksud lelaki tak boleh bertegas dengan perempuan??
Alaaa,
setakat tinggi suara sekali sekala, apa salahnya??
Kata perempuan penuh dengan kesabaran...
Jadi, kalau dah sayang, sabar je laa...




Perempuan,
tepuk dada sendiri,
adakah anda mahukan lelaki yang SENTIASA menurut kata anda??
jika jawapan anda 'YA'
aku ucapan 'GOOD LUCK!' dalam mencari TEMAN HIDUP...
bagi yang dah berkahwin dan mahukan suaminya begitu,
juga ucapan 'GOOD LUCK' dalam mempertahankan rumahtangga...
Mungkin ni jugak punca perceraian seperti permainan masyarakat masa kini..

Aku pernah jumpa orang yg merungut tentang dirinya tidak dihargai..
dan aku tergelak terhadap kenyataannya...
Seingat aku laa,
dia susah menghargai lelaki..
memaksa orang lain berubah dengan alasan masa depan,
adakah itu perbuatan orang yang menghargai??

Just don't put all the blame on the opposite site,
because one finger points to other is 4 fingers back to you...
Kita manusia, jika kita kata orang salah,
adakah kita tidak pernah melakukan kesalahan??

Yang penting, berikan peluang..

Friday, October 19, 2012

#marakehadapan



Tahukah kalian tentang permainan papan,
"Snake and Ladders" ?
Permainan dadu di mana
satu papan dibahagi 10x10
kotak bernombor 1 hingga 100..

Bila jumpa ular, kita ditelan
...dan kena turun macam taik.
Bila jumpa tangga kita daki
bagai dunia ini kita yang punya

SAMA SEPERTI KEHIDUPAN
dalam usaha menuju kejayaan,
kita akan bertemu dengan banyak jalan pintas ( tangga )
dan juga halangan yang menjatuhkan ( ular )

sampai satu tahap KITA PENAT
...dan pada masa itulah HALANGAN BESAR TIBA
APA BOLEH KITA BUAT?



Mahu diri ditelan dugaan
seperti ular menelan mangsa
dan bermula semula di petak mula?

..atau..

berpegang pada apa yang kita ADA..
..dan terus pergi..
..MENGHADAPINYA!

bukan melarikan diri
sebagai seorang penakut.

..dan dengan kuasa-Nya,
kita mampu menyelesaikan
halangan itu untuk terus
MARA KE HADAPAN



Seorang makcik pernah berkata dalam pertemuan kami baru-baru ini,
"Ujian ni nakkk~ diturunkan Allah bukan untuk kita jadi makin bodoh."

Semua dari kita ada "chapter" masing-masing dalam buku kehidupan.
kadang kala ianya gembira,
kadang kala ianya sedih,
namun ianya bukan alasan untuk berhenti mencuba..

Thursday, October 18, 2012

.kawan.




Kawan.
Semua ada kawan.
Rapat atau tidak, itu hal lain,
tapi secara zahirnya, semua ada kawan.

Tapi kawan yang macam mana kita betul-betul perlukan?

Sesetengah orang perlukan kawan yang baik.
Kawan yang di mana, bila kita berada di lembah kegelapan,
dia akan cuba sedaya upaya mengangkat kita kembali ke permukaan yang cerah.
Kawan di mana, bila kita sedih,
dia akan cuba membuatkan kita selesa.
Kawan di mana, bila kita kemurungan,
dia akan berkata "hang in there" atau sesuatu seperti "semua yang berlaku ada hikmahnya" atau sesuatu seperti "just be yourself".

Aku ada ramai kawan sebegitu.
Terlalu ramai yang sebegitu sampaikan aku tidak tahu beza yang mana ikhlas dan yang mana hanya sekadar mahu memenuhi syarat kontrak sosial di mana dia perlu dilihat sebagai seseorang yang baik sedangkan dalamnya tidak peduli.

Tidak.
Aku tidak persoalkan keikhlasan kawan-kawan aku.
Aku persoalkan kemampuan aku untuk mempercayai keikhlasan mereka.
Aku yang salah.
Dan jika yang baca ini adalah salah satu dari mereka,
aku minta maaf.

Dan ya.
Aku sedang berada di lembah kegelapan kehidupan di mana aku persoalkan setiap perbuatan aku.
Aku sekarang sangat negatif sehinggakan aku merasakan diri ini tidak berguna.
Aku seorang yang gagal.
Jika hidup ini roda, aku berada di bahagian bawahnya.
Jika hidup ini roller coaster, kau sedang menerima daya tujahan ke bawah sehingga 6G.
Aku dalam depresi.

Memang banyak yang mahu membantu.
Tapi aku tidak mahukan seseorang yang akan berkata
"Bertahanlah"
"Jangan putus asa"
"Bangkit!"
Aku perlukan seseorang yang bila nampak aku sedang merejam kepala di dalam kolam air,
dia akan datang dekat, dan dengan kedua belah tangannya akan menekap kepala aku lalu merejamnya lebih dalam sehinggakan aku hampir lemas dan di ambang kematian lalu dia menggenggam rambut aku dan menariknya ke atas dan berkata kepada aku,
"Best tak rasa macam nak mati? takut gila babi kan? cuba kalau kau berubah, dari takuk lama dan elak dari mengalami perasaan hampir mati kau tu dengan usaha dan keupayaan kau sendiri. jangan jadi bodoh, bangsat!"

Harap kalian faham.

Malangnya, aku tiada kawan sebegitu.

Aku tak mahu orang berkata kepada aku
"Just be yourself"
kerana pada aku, kata-kata itu hanya untuk orang yang sudah berpuas hati dengan apa yang diperolehinya dan berkeputusan untuk tidak mencuba lebih baik.
"Just be yourself" adalah sama seperti "Don't do anything to improve!"

Jika purata manusia hidup sehingga berumur 60 tahun,
maka aku sekarang belum pun lagi mencapai separuh dari jangka hayat.
Dengan itu, aku masih berpeluang besar untuk bertemu dengan seorang kawan yang sebegitu..
Seorang kawan yang tidak meninggalkan aku ketika aku jatuh.
Seorang kawan yang bagi aku peluang untuk merasa sakit dan perit kegagalan dan kemudian menyokong aku untuk bangkit menuju kejayaan.
Seorang kawan yang berkata pada aku
"Kalau kau nak terjun gaung, silakan. Tapi pastikan kau naik balik dan bernafas dengan kepuasan dan senyuman."
Dan seumur hidup aku, aku akan mencari kawan yang sebegitu.

dan aku seperti sudah berjumpa kawan yg sebegitu. Terima Kasih kawan-kawan ku :)

Friday, October 12, 2012

.seperti sebuah tangki.



Kalian nak tahu?

Aku menganggap
kesabaran seperti sebuah tangki air.
Air yang keluar dari paipnya adalah dugaan kehidupan.

Besarnya kapasiti tangki bergantung kepada individu.
Ada yang seluas tasik,
ada yang setadah tapak tangan.

Bila ada dugaan, tangki berisi air.
Terpulang pada kita mahu keluarkan melalui saluran keluar air,
atau tampungnya seumur hidup.

Namun,
seperti kesabaran,
tangki juga ada hadnya.

Jika kadar yang masuk melebihi yang keluar,
lama-kelamaan tangki akan penuh dan melimpah.
Melimpahnya dugaan bererti kesabaran tak dapat lagi menampung.

Itulah had kesabaran.


Maka,
setiap kali aku berasa marah,
aku akan keluarkannya dengan saluran yang relevan.
Twitter banyak membantu.
Paling kurang aku lega, walaupun tiada siapa yang peduli.

Dan setiap kali aku mahu bersabar,
aku hanya perlu bayangkan tangki air.

Akan aku buka paipnya laju-laju.
Akan aku lepaskan segala lesu.
Lalu aku bayangkan tangki aku membesar.
Membesar sebesar yang aku mahu.
Kerana tiada siapa kata tangki aku tak boleh berubah kapasiti.
Tiada siapa kata ianya hanya tiga kali.
Kerana kesabaran semua orang memang ada hadnya.
Namun hadnya kita yang tentukan sendiri.


Postquam-scriptum:
Peringatan kepada diri sendiri (terutamanya) dan orang lain.

Thursday, October 11, 2012

#BOLEH




Ever since I was a child, I had a goal...
A naive but hopeful dream, that when I grow up,
I'd like to be someone who would make a difference in this world...

Growing up in a developing city like KL, I do agree that Malaysia,
isn't like one of the big and formidable countries, if you wanna compare...

But I believe, things are evidently changing in today's generation,
Children are technologically more savvy than most average adults,
They know how the world works, even before puberty,
They dream bigger dreams, than we ever dared to when we were their age...

Being a nation of different cultures and up bringing,
I still believe we have something that binds us together,
"The Boleh Spirit".

We turn the page to a new era, a new world we call the World Wide Web,
Through Facebook, Twitter, YouTube or any other social network, we listen to the voices of the people...

Despite our different goals, I'm sure we have one common goal of putting Malaysia in the map.

Traveling to different parts of the world has shine a new light on my perspective...
I discover the similarities we all have, despite the fact that there are 7 billion of us in this world...

We all fall in love, just like everyone else...
We are inquisitive, with the hunger for knowledge...
And sometimes the kid inside us, just wants to be careless and free.

There is a theory that everyone in this world, is connected to anyone,
through a chain of acquaintances of not more than 6 links. They call this the 6 degrees of separation.

It's fascinating to know that we are all, 5 friends away from being acquainted to a random stranger in a train in South Korea...
Or even a tuk yuk driver from Thailand...

This shows that we are all relatable to one another,
that our culture and influence can make a difference in this world.
And that Malaysians have a voice of our own
And we should spread our Boleh spirit to the world

Let us embrace the differences we all have, and unite as Malaysians with the Boleh spirit.
And continue to strive to put Malaysia on the world's stage.

Malaysians Can! Malaysians Boleh!

Written by: Reuben W.J Kang


Monday, October 8, 2012

.melankolik.


mel·an·chol·y [mel-uhn-kol-ee]
adjective
4. affected with, characterized by, or showing melancholy; mournful; depressed: a melancholy mood.
5. causing melancholy or sadness; saddening: a melancholy occasion.
6. soberly thoughtful; pensive.




B : Yo! Lately kau nampak lain. ada masalah ke?

Aku : Mana ada bro.. Aku sentiasa ceria la :)

B : Ohh.. Baguslah, Good to know that.

Aku : thanks :)

B : Tapi tak salah, sekali sekala jadi melankolik.

Aku : ........

Bila ada orang kata dia tak pernah bersedih,
berduka tentang sesuatu yang dialaminya,
fahamilah bahawa dia sedang menipu.
Namun, menipu bukan bererti dia penipu.

Setiap orang ada episod sedih dalam diri.
Tapi tak semua orang bersedia berkongsi cerita mengenainya.
Apa yang mampu kita buat adalah
memberikan mereka sedikit ruang dan masa.

Kerana percayalah,
masa sentiasa dapat merawat luka.

postquam-scriptum:
Jadi, bagaimana cara kalian menghadapi episod sedih diri?
Menangis, berkurung, atau letak ke tepi dan lupakan sahaja?

Friday, October 5, 2012

.aku budak UIA.


Masyarakat sekarang terlalu menolak segala perkara dari sudut negatif daripada menerimanya.
Hilang kepercayaan kepada orang sekeliling,
terutamanya orang yang terlalu asing.

Kalian akan faham apa maksud penyataan di atas setelah baca kisah benar di bawah.



Gatal punggung, aku decide nak ke satu tempat ni dengan menaiki LRT.
Haha, kononnya dah lama tak merasa berebut dengan orang awam.

LRT ramai orang.
Ya, aku kurang minat berebut, tapi apa salahnya sekali sekala.
Dalam gerabak, aku berdiri di sebatang tiang.
Di hadapan aku berdiri seorang gadis berkulit putih
bertudung dan berkaca mata
membimbit satu fail, menggalas beg
dan membelakangi aku dengan menghadap pintu.

Dari gaya dia, dia tak biasa naik LRT.
Berkali-kali dia jenguk route-map.
Berkali-kali dia jenguk luar pintu baca nama tempat di stesen yang berhenti.
Sekali-sekala menjeling orang sekeliling,
seolah-olah berjaga-jaga dengan sesuatu.

Sampai satu stesen ni, dia bersedia untuk keluar.
Sesuatu jatuh dari fail dia, dan dia tak menyedarinya.
Lebih malang, dari tempat jatuh dia, hanya aku sahaja yang perasan.
Biasa laa, dah ramai orang, jarak penglihatan pun kurang.

Dalam kepala,
"Nak tolong ke, abaikan??"
aku budak UIA, aku tolong.

Pintu sudah terbuka ketika aku membongkok mengambil barang itu dari lantai.
Sepucuk surat belum dibuka, kelihatan penting.
Gadis tu dah keluar sebelum aku sempat nak pulangkan.
Orang ramai bersaing, aku belum sampai destinasi.

Dalam kepala,
"Nak kejar ke, abaikan?"
aku budak UIA, aku keluar kejar.



Orang ramai yang berpusu buatkan aku tak mampu kejar laju.
Beberapa orang sempat aku langgar.
Dia sudah di depan, aku masih di belakang.

"Cik, cik, CIK!!"
Macam tak malu je jerit tengah orang ramai.
Aku nampak dia berpaling pandang,
tapi seolah dia makin laju ke depan.
Apakah??

Bila aku mula rapat dengan dia,
dia sudah keluar dari post scan tiket sedangkan aku masih di dalam.
Aku panjangkan tangan, tarik beg dia melintasi penghalang.
Dia melatah menjerit, berpusing dan memukul tangan aku.

Gaya dia seolah-olah aku nak rompak dia.
Seolah-olah aku nak ragut beg dia.
Seolah-olah aku nak raba punggung dia.
Seolah-olah aku nak rogol dia.

"Pergilah..." dia menjerit.
Aku terkelu sekejap.
Orang keliling pandang.
Aku terasa dimalukan.

"Cik, ini jatuh dari fail cik tadi."
Aku hulurkan surat tu.
Dia terdiam, ditelitinya surat itu,
lalu dengan perlahan dia hulurkan tangan menyambut.

Aku berpusing dan pergi.
Ada kedengaran dia panggil aku dari luar,
mungkin nak meminta maaf atau apa.

Dalam kepala,
"Nak pusing ke, abaikan?"
aku budak UIA, namun maruah tercalar, aku abaikan.
walaupun dia comel dan punyai ciri-ciri yang aku nak jadikan seorang isteri.


Aku berlalu dengan mendengar dia memanggil aku dari jauh.
"Encik..encik!!"

Akibatnya, aku terpaksa tunggu lagi 15 minit untuk tren seterusnya.

Aku sedar muka aku muka jahat.
Lagi sedar pakaian aku agak selekeh.
Tapi, aku tahu,
tak ada orang jahat yang nak buat jahat
di tengah khalayak ramai
sambil jerit "cik, cik, cik.."

At least, kalau tak percayakan orang sekeliling,
percayalah diri sendiri
bahawa kita mampu jaga diri sendiri.

Untuk cik Fail yang berkaca mata,
"sama-sama.."